road-through-foggy-forest-into-distance

Jalan Berdarah Daging Berkecai

Assalammualaikum dan hai semua para pembaca.

Aku nak mulakan cerita pengalaman yang paling seram dalam masa yang lama pernah aku hadapi. Pengalaman yang lain hanya muncul-muncul macam tu je.

Macam ini ceritanya. Ada satu member aku ni. Dia bekas pelajar UMP dan pindah masuk UiTM Dungun. Tukar bidang. Maklum la bidang komputer ni bukan senang orang yang tak minat nak terima. Lebih-lebih lagi Programming Language yang susah orang lain nak faham. Dulu masa UMP, bidang kitaorang di bahagi kepada 2 kelas. Kelas pertama ramai perempuan dan kelas kedua hanya kami bertiga saja perempuan iaitu Aku, Mira dan Leen. Yang pindah tu namanya Leen. Jadi, kami memang rapat la.

Satu hari Leen ni datang ke UMP. Saja jalan-jalan. Pagi atau siang tu member lelaki yang ambil dia dari UiTM Dungun. Pastu malam kami lepak bersama dan kami pula yang hantar dia ke UiTM Dungun tu. Dalam kereta aku, Mira, Leen dan Aisyah (dari kelas lagi satu). Bergerak ke sana lepas maghrib rasanya. Tak ada la seram mana. Macam biasa je. Pastu jalan-jalan pergi pasar malam kat Dungun. Bila tiba kami nak balik semula ke UMP. Haa.. yang ini la bab seram.

Aku tak ingat pukul berapa aku gerak dari Dungun. Kemungkinan agak lewat. Yela jalan-jalan sana lagi. Lepak-lepak bilik asrama lagi. Makan lagi. Aku agarkan dalam kul 11-12 tengah malam la kot. Aku yang memandu. Mira duduk di tempat penumpang sebelah. Aisyah pula tidur di tempat duduk belakang. Aku lalu di jalan lama dari Dungun ke Gambang. Jalan sana memang gelap. Tak ada lampu jalan. Aku memandu macam biasa.

Tiba-tiba aku ternampak jalan raya tu macam ada darah. Darah yang macam kena seret tu. Sepanjang jalan ada darah. Makin ke depan jalan tu penuh dengan ketulan daging-daging. Nampak macam daging tu dah berkecai di jalan raya. Aku langgar daging-daging tu. Bila aku terlanggar daging tu aku boleh dengar bunyi daging tu kena penyet. Bunyinya sangat nilu. Aku memandu ke kiri kanan berusaha nak mengelak dari terlanggar ketulan daging itu. Tapi ketulan tu makin lama makin banyak dan darah pun makin banyak.

“Eh! apa tu?” Jerit aku ketakutan. “Apa? Apa? Aku tak nampak apa-apa pun.” kata Mira. Aisyah tak payah cakap la. Dia masih sedap saja lena kat belakang tanpa ketahui apa-apa. Mira pun dekat ngan aku sambil usap-usap dada aku dan baca Al-Fatihah. Aku pula dalam hati baca ayat Kursi berulang-ulang kali.

Semakin ke depan aku nampak satu bangkai gergasi di tepi jalan. Aku tak pasti itu lembu atau kerbau ataupun gajah. Sebab ianya sangat besar dan kawasan itu gelap. Bangkai itu kelihatan perut sudahpun berlubang besar. Isi-isi semua terkeluar dan berdarah. Aku tunjuk kat Mira bangkai di tepi jalan tu, namun dia tidak kelihatan apa-apa.

Aku pandang kedepan. Ada kereta lalu di kawasan berlawanan. Darah yang banyak tadi kini sudah tiada di jalan. Ketulan daging juga tiada. Sampai di kawasan tempat letak kereta UMP, aku terus tengok pada tayar. Ada ke ketulan daging atau darah pada tayar. Aku tengok kesemua keempat-empat tayar. Aku yakin aku terlanggar daging yang berkecai tadi. Namun, tiada apa-apa kesan pada tayar. Tiada ketulan daging malah darah pun tiada.

Aku bertanya pada Mira, “Betul ke kau tak nampak apa-apa tadi?” Mira pun jawab “Sumpah aku tak nampak apa-apa.” Tangan aku masih mengigil ketakutan walaupun sudah sampai. Balik asrama, mandi dan nak masuk tidur. Nak tidur tu aku masih terbayang-bayang darah tu sampailah aku tertidur.

Leave A Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *